Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘JAKIM’

Celcom akur keputusan Jakim

KUALA LUMPUR 17 Jun – Celcom (M) Bhd., (Celcom) akur dengan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengisytiharkan peraduan 100 Hari 100 Kereta anjuran syarikat telekomunikasi itu sebagai melanggar hukum syarak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, dengan keputusan Jakim itu, pihaknya memutuskan menggantung penganjuran peraduan itu bagi memperhalusi konsep peraduan itu dengan kerjasama dan tunjuk ajar Jakim.

“Kami menghormati keputusan Jakim dan sangat berbesar hati dapat bekerjasama dalam hal ini dan memutuskan untuk menyelaras konsep peraduan itu agar mematuhi hukum syarak,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Celcom mempertahankan tindakan syarikat itu menganjurkan peraduan 100 Hari 100 Kereta atas alasan telah membuat kajian termasuk merujuk fatwa.

Kenyataan Celcom itu dibuat setelah Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menasihatkan umat Islam tidak menyertai peraduan itu kerana ia mengandungi unsur perjudian.

Menurut Mohd. Asri, peraduan itu disifatkan sebagai perjudian kerana bayaran perlu dibuat untuk menjawab setiap soalan seperti juga judi nombor ekor.

Selain Mufti Perlis, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut juga berpendapat peraduan itu mempunyai unsur memberi harapan tinggi kepada peserta dan mewujudkan rasa tidak puas hati.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir pula berkata, kaedah mengenakan caj kepada peserta bagi setiap penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa memberi sebarang pulangan tidak dibolehkan.

Mengulas lanjut, Shazalli berkata, selepas kajian menyeluruh oleh Jakim mengenai peraduan itu, pihaknya kini lebih memahami hukum syarak yang digariskan terutama melibatkan produk telekomunikasi.

“Jakim juga akan mengeluarkan garis panduan yang jelas dan spesifik mengenai promosi dan pertandingan produk telekomunikasi, terutamanya yang berkaitan SMS,” katanya.

Menurutnya, Celcom akan bekerjasama dengan Jakim dalam masa dua minggu ini bagi memperhalusi konsep peraduan dan akan membuat pengumuman rasmi mengenainya kepada pelanggan tidak lama lagi.

Bagi tokwan, caj yang dikenakan sebanyak RM5 satu mesej adalah satu unsur perjudian meskipun ada soalan menguji minda diajukan. Tokwan risau di tengah keghairan kita ingin mengejar keuntungan ada perkara melanggar syarak diamalkan.

Cuma, pertandingan lain juga perlu dikaji JAKIM. Seperti membeli barang bagi mendapatkan peluang dapat hadiah. Kalau tak beli tak dapat penyertaan dan tak ada peluanglah nak menang.

Jika nasihat Mufti kita selalu didengar seperti ini dan JAKIM juga memberi respon segera kita yakin perjalanan negara kita ke arah masyarakat hadhari akan tercapai dengan jayanya.

Cuma, di mana lagi Mufti kita yang lain. Adakah mereka tersisih atau menyisihkan diri atau tidak mahu popular seperti Asri ?

Salam dulu cucu..Tokwan nak nonton Euro guna Hyppo jap. Rumah tak ada Astro ESPN..TV3 dan NTV7 ada. Tapi malam ni nak guna internet online tv pulak.

Read Full Post »