Feeds:
Posts
Comments

Archive for April 11th, 2010

4122487848_c1b3017b56.jpg

“Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahlah DAP, Syaitan pun saya boleh terima,” – YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, 23 Januari 1999.

Selepas menerima persahabatan dengan DAP atas alasan keikhlasan DAP menerima perjuangan PAS, sudahkah Nik Aziz mengadakan persahabatan dengan Syaitan kerana saya yakin, orang sehebat Nik Aziz, bila-bila pun Syaitan in mendampingi.

nik-aziz-lim-kit-siang-dapas.jpg

Di dalam peringatan mesyuarat ke 6 Jawatankuasa Kerja Agung PAS bertarikh 22 Januari 1986, diminitkan seperti berikut,

PERKARA 5.5 – Terdapat cadangan supaya PAS menerima kerjasama/bantuan dari orang-orang yang bukan Islam.

Setelah menerima pandangan dari Dewan Ulama’ Kelantan dan dibincangkan secara teliti, maka mesyuarat bersetuju:

5.5.1 – PAS sama sekali tidak boleh/dilarang bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang bukan Islam,

5.5.2 – PAS boleh/harus menerima bantuan/kerjasama dari individu-individu yang bukan Islam.

Nik Aziz hadir di dalam mesyuarat tersebut sebagai Ketua Dewan Ulama dan Pesuruhjaya PAS Kelantan. Menurut salah seorang saksi yang hadir di dalam mesyuarat yang bertempat di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Nik Aziz menentang kerjasama dengan DAP dan mana-mana Parti Politik yang tidak ‘Islamik’ berdasarkan ‘ketinggian’ ilmu agamanya.

Pandangan Nik Aziz itu konsisten dengan pendirian lampau PAS berdasarkan kenyataan pada 3 April 1982 yang di buat oleh Yang DiPertua PAS ketika itu, Dato’ Asri Che Muda yang pernah menafikan pendedahan Timbalan Presiden UMNO Musa Hitam bahawa wujud ‘unholy alliance’ antara PAS-DAP.

tokguru,_karpal%5B1%5D.jpg

‘Tok Guru Haji Lah Geting’ atau namanya Tok Guru Abdullah Sa’amah adalah antara Tok Guru Pondok yang masyhur di Kelantan dan hari ini telah dengan lantang bangkit menentang Nik Aziz menerusi penulisannya dan sessi-sessi ceramah di Kelantan.

Penentangan yang dari Tok Guru Haji Lah adalah berdasarkan ‘kesesatan demi kesesatan Nik Aziz’ yang dianggapnya sanggup ‘memperalatkan Islam dan memecah belahkan perpaduan umat Islam yang majoritinya dianuti oleh bangsa Melayu.’

Di dalam salah satu tulisannya yang muncul di dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, Tok Guru Haji Lah menulis,

‘Penentangan saya terhadap kelompok ini bermula sejak tahun 1987 apabila seorang pemimpinnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakansifat 20 Allah SWT direka oleh Greek dan Yunani. Bagaimanapun saya mendiamkan diri kerana berpegang kepada dasar parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam’.

Seterusnya Tok Guru Haji Lah menambah,

Namun selepas berkali-kali melihat dan mendengar kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz biar yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah biar pun telah ditegur, ia mula membuka mata saya. Kami ahli Persatuan Pondok seMalaysia beberapa kali telah menasihati beliau tetapi tidak diendahkan.

Untuk pengetahuan umum, Institusi pondok di Kelantan telah lama menentang ajaran-ajaran Nik Abdul Aziz tetapi tidak ada siapa berani bersuara dengan lantang seperti saya kerana telah termakan budi dan bimbang tidak menerima lagi bantuan seperti mana yang dinikmati hari ini.

Hari ini diatas kelantangan Tok Guru Haji Lah menentang ‘ajaran-ajaran sesat’ Nik Aziz, pelbagai sekatan telah dipaksakan ke atasnya oleh Kerajaan Negeri Kelantan termasuklah tidak membenarkan beliau mengadakan kuliah di masjid-masjid di Negeri Kelantan. Bahkan sesiapa yang menghadiri kuliah Tok Guru Haji Lah akan disekat daripada menerima bantuan Kerajaan Negeri Kelantan.

Tok Guru Haji Lah juga turut menulis,

Saya amat yakin perjuangan ini kerana jelas pakatan pembangkang yang disertai PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP akan hanya menghancurkan umat Islam. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Perak ketika dibawah kerajaan boneka DAP.

Perkembangan pada masa sekarang menunjukkan DAP yang menjadi tuan kepada pakatan pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti mengikut telunjuk DAP semata-mata untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri manakala PAS mengikut membabi-buta sehingga Nik Abdul Aziz dan Lim Guan Eng tidak jauh bezanya.

(Saya tidak sepenuhnya bersetuju dengan perenggan terakhir di atas tetapi saya siarkan pandangan Tok Guru Haji Lah kerana dari beberapa aspek tetap ada kebenarannya. Bagaimanapun saya yakin dan masih melihat tidak kesemua di dalam PAS yang mengikut membabi buta DSAI. Namun begitu mereka terpaksa menurut dan menjadikan keputusan jemaah untuk terus bersama Pakatan Rakyat bagi mengelak perpecahan dan kemusnahan PAS).

Kita tinggalkan dulu tulisan Tok Guru Haji Lah sehingga saya berpeluang untuk menemuramah beliau untuk blog ini, dan kembali kepada kenyataan-kenyataan Nik Aziz sendiri.

Pada Ogos 1963, Dewan Ulama PAS Kelantan mengeluarkan hukum berikut.

Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir dan haram.

Oleh yang demikian, Nik Aziz menghalalkan penumpahan darah menentang UMNO yang dianggapnya sebagai kafir kerana bekerjasama dengan MIC, MCA, Gerakan dan lain-lain parti yang diterajui oleh bukan Islam dari Sabah dan Sarawak dengan berkata,

Jika melawan UMNO tiba-tiba meninggal dunia, maka kita dikira mati syahid,” kata Nik Aziz di dalam kuliahnya di masjid Kg Pulau Melaka.

nik-ajes-lee3.jpg

Pada 3 Julai 1999 di Pengkalan Chepa, Nik Aziz berkata,

Terdapat unsur kafir dalam UMNO kerana parti itu menolak Islam dalam pentadbiran negara, UMNO juga ada ciri-ciri kafir.

Bagaimanapun beberapa bulan sebelum itu iaitu pada 12 Mei 1999, Nik Aziz menekankan bahawa demi memastikan hubungan dengan DAP berjaya, PAS sanggup tidak mendirikan Negara Islam. Katanya,

Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS, asalkan tidak mendirikan negara Islam.

nik_aziz_salam.jpg

Pada 4 Ogos 2001, Nik Aziz menekankan ketiadaan hasrat menubuhkan Negara Islam dengan berkata,

Bukan sahaja dalam manifesto, dalam perlembagaan PAS sendiri memang tidak mengandungi satu perkataan pun untuk menubuhkan sebuah negara Islam, dia (DAP) boleh tengok sendiri perlembagaan itu.

Tetapi kata-kata Nik Aziz berubah-ubah mengikut khalayaknya kerana sebelum itu pada 24 Januari 1999 Nik Aziz memberitahu khalayaknya bahawa DAP sebenarnya mahu menolong Kerajaan Islam yang diusulkan oleh PAS, kata Nik Aziz,

Siapa yang nak tolong Kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA dan MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun saya terima.

Benarkah DAP mahu menolong Kerajaan Islam? Adakah DAP akan mengundi bersama dengan wakil-wakil Rakyat PAS bagi meluluskan pindaan perlembagaan yang membolehkan Hukum Hudud dilaksanakan? Atau PAS yang terpaksa menolak hasratnya untuk melaksanakan undang-undang Islam dan mewujudkan Negara Islam bagi mengikat DAP untuk mendampingi mereka?

Sebaliknya apa yang berlaku ialah Nik Aziz yang ingin menolong DAP atau di dalam bahasa Nik Aziz, Islam yang menolong kafir apabila Nik Aziz berkali-kali mempertahankan DAP.

Pada 25 Jun 1999, Nik Aziz berkata,

PAS sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu (dengan DAP), setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa

Lantaran pada 6 November 1999, Nik Aziz berkata lagi,

PAS boleh terima pemimpin DAP jadi Perdana Menteri, tidak ada apa, asalkan dia terima syarat yang ditetapkan oleh Barisan Alternatif.

Kenyataan Nik Aziz ini ternyata amat berbahaya kepada Masyarakat Islam kerana di dalam Pakatan Rakyat hari ini, PAS adalah parti yang minoriti. Oleh yang demikian sudah tentu syarat bukan PAS yang boleh mendabik dada membuat syarat kepada DAP.

Saya tidak dapat salahkan Tok Guru Haji Lah apabila pada pandangan beliau yang tinggi ilmu agamanya menyelar Nik Aziz sebagai sesat, kerana pada 23 April 1994, Nik Aziz telah berkata,

Jika ada parti lain yang menentang kepimpinan PAS menjalankan pemerintahan cara Islam, ia adalah haram.

Dan pada 12 Ogos 2009 yang lalu, Nik Aziz berkata,

DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak itu lebih menghina Islam

Di dalam kerakusannya untuk mempertahankan tampuk kuasa dan di dalam kerakusannya menubuhkan Kerajaan Pusat di peringkat persekutuan Nik Aziz sanggup menjadi mengkarung yang boleh berubah-rubah rupa bentuk dan warnanya. Di dalam bahasa Kelantan ia dipanggil Pok Kor.

Yang lebih menakutkan ialah jika dia menjadi Pok Kor Angguk. Yang akan mengangguk-anggukkan kepalanya sepanjang masa. Dan akan menganggukkan sahaja kepalanya kepada DAP yang merupakan parti terbanyak perwakilan di Dewan Rakyat di dalam Pakatan Rakyat.

Gemullah Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah sewaktu hidupnya juga seperti Tok Guru Haji Lah Pondok Geting gelisah dengan pendirian Nik Aziz yang sering bagi para Tok Guru terlalu mempolitikkan agama atau dengan bahasa kasarnya, menjual agama untuk menghalalkan politiknya.

Kegelisahan itu menjadi-jadi bila Nik Aziz secara terbuka berkata sanggup berkawan dengan Syaitan, berkata Allah gedebe atau samseng, Allah mencarut di dalam Al Quran dan lain-lainnya contohnya bila Nik Aziz berkata adalah halal untuk makan tupai.

Saya membaca kembali transkrip ucapan Nik Aziz ketika beliau berkata Allah mencarut di dalam Al Quran ternyata di dalam menghalalkan penggunaan kalimah ‘p***mak’ oleh Shahnon Ahmad di dalam buku Shit, Nik Aziz telah mengelirukan khalayaknya dengan menyamakan definisi mencarut atau di dalam bahasa Kelantan sebagai ‘menyapung’ adalah sama dengan tafsiran bagi ungkapan maki hamun.

Di dalam menghalalkan segala aspirasi politiknya, Nik Aziz telah tergamak memanusiakan Allah SWT. Nik Aziz mewarnakan sifat-sifat Allah yang Esa dengan sifat-sifat manusia.

Bahkan Nik Aziz berkata pada 29 April 1999,

Islam tidak melarang umatnya mengeluarkan perkataan mencarut dan mencaci sesorang jika kena pada tempat dan masanya, kerana ia sudah menjadi salah satu naluri.

“Bagi saya, beliau (Nik Aziz) bukan lagi Musyidul Am tapi Mudalilul Am (Penyesat Umum). Beliau orang yang sesat, itu hakikatnya,” kata Tok Guru Ayah Haji Lah, Pengasas Pondok Geting dan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan.

sumber : Blog Kickdefella ( Syed Azidi )

Read Full Post »

KUALA LUMPUR, 11 April — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menasihatkan PAS harus keluar Pakatan Rakyat (PR) jika merasakan keanggotaan dalam ikatan itu merugikan perjuangan parti Islam itu, tetapi sama sekali tidak menghianati persefahaman yang telah dicapai.

Sehubungan itu tegas beliau, PAS juga tidak harus menjadi “gunting dalam lipatan” hanya kerana tidak bersetuju dengan sesetengah tindakan dalam PR memandangkan ikatan itu dibentuk berdasarkan keputusan jemaah.

Dalam pandangan ketika PR bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, anggota Biro Politik PAS ini menambah, jika PAS merasakan dengan berada dalam PR merugikan, maka“keluar sahajalah dan jangan khianat.”

“Tetapi, apabila dalam Pakatan, bertindak jujur dan ikhlas terhadap Pakatan, jangan menjadi gunting dalam lipatan atau bagaikan biawak hidup.

petikan dari blog http://malaysiaberih.blogspot.com/2010/04/pas-harus-keluar-pr-jika-rasa-rugi.html

Ulasan :

Kenyataan ini membuktikan bahawa Khalid Samad sedar ramai orang PAS sudah tidak dapat menerima Anwar. Beliau tahu bahawa keyakinan ahli PAS sendiri terhadap Anwar sudah runtuh dan tidak ada lagi peluang untuk diperbetulkan. Apatah lagi dengan pengisytiharan jadi ahli bebas oleh beberapa YB PKR juga menunjukkan setakat mana kepercayaan mereka terhadap Anwar Ibrahim.

Beliau juga sanggup menyarankan agar PAS keluar dari PR dalam keadaan beliau sendiri sudah digantung 6 bulan oleh Lembaga Disiplin PAS. Tidak pelik kerana gelaran Erdogan sudah lekat secara rasminya kepada beliau ekoran tindakannya yang pro Anwar dan menentang geng Ulama dalam PAS.

Pergolakan dalaman yang dizahirkan oleh Khalid Samad ini pasti akan memburukkan lagi peluang PAKATAN RAKYAT untuk menang di Hulu Selangor.

Mereka cuba menggambarkan UMNO/BN bergolak tetapi hakikatnya merekalah yang sedang berpecah belah akibat perselisihan faham yang timbul antara parti PAS PKR dan DAP.

Khabar dari Hulu Selangor juga menceritakan bahawa dua kumpulan utama dalam PKR sedang berebut untuk mengangkat calon pilihan masing masing.

Nasib PAKATAN RAKYAT semakin teruk dari hari ke hari.

Inilah masanya rakyat menunjukkan KEBENCIAN mereka kepada mana mana calon Pakatan Rakyat samada di Hulu Selangor atau di Sibu tidak lama lagi.

Jangan pangkah walau satu undi pun kepada gerombolan penipu rakyat ini.

Kita jangan mudah ditipu kerana kita juga masih ada akal yang waras untuk membezakan antara yang hak dan yang batil.

artikel dari blog

Panglima Perang Cyber
http://penembak-tepat.blogspot.com/2010/04/edisi-perang-siber-hulu-selangor-siri_3044.html

Read Full Post »

1. Jelak! Itu kata ringkas yang dapat membayangkan perasaan penulis terhadap portal Malaysiakini setelah membaca versi Bahasa Melayu (BM) perbandingan yang dibuat dalam menganalisa jemputan YAB Najib ketika membentangkan Model Ekonomi Baru (MEB) kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk pulang ke tanah air dan memberikan sumbangan mereka khususnya dalam pembangunan ekonomi negara.

2. Mengapa dalam versi BM Malaysiakini sengaja melebihkan pengkisahan “Kisah Benar” rakyat Malaysia di luar negara yang enggan pulang (sini) berbanding dengan rakyat Malaysia yang mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air walaupun telah mengecapi kemewahan di sana (sini)?

3. Penulis tidak menolak “kemungkinan” Malaysiakini ada mengarang secara panjang lebar mengenai rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air dalam versi Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, tetapi apa yang perlu dilihat ialah mengapa mereka dengan segaja menggunakan saluran BM untuk melebihkan kisah rakyat Malaysia di luar negara yang “bencikan” Malaysia dan seolah-olah berbangga sekiranya menjadi warganegara luar.

4. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila artikel berkenaan turut memuatkan penceritaan “Mengapa saya tinggalkan Malaysia?” oleh lima individu yang turut disertakan gambar mereka berbanding dengan artikel “Kenapa saya pulang ke Malaysia?” yang langsung tiada penceritaannya.

5. Penceritaan bermula oleh Farid Tan yang menceritakan bagaimana beliau berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) ketika berkhidmat dengan Bank Bumiputra dan tidak pulang ke Malaysia kerana krisis kewangan yang berlaku pada 1997/98. Selanjutnya beliau menceritakan mengenai kebaikan AS yang memberikan sistem pendidikan yang baik kepada anaknya dan peluang kepadanya untuk menjadi seorang yang berjaya di sana. Farid Tan terlupa ataupun sengaja buat-buat lupa peluang “langkah pertama” yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat di Bank Bumiputra (ya, Bank BUMIPUTRA) sehingga membuka peluang kepadanya untuk berhijrah ke AS. Kemewahan yang dikecapinya hari ini adalah berpunca dari peluang yang diberikan saham terbesar Bank Bumiputra (sekali lagi, BUMIPUTRA). Tidakkah beliau sedar siapakah pemegang saham yang terbesar di bank itu?

6. Eldina Razak di China pula yang berhijrah keluar dari Malaysia pada 1993 ketika menjadi pelajar tidak akan kembali ke Malaysia kerana beliau mahu “kebebasan dari keluarga dan masyarakat” yang tidak diperolehinya sejak berusia 17 tahun. Beliau kisahkan sewaktu remaja beliau bersama rakan pernah ditahan polis kerana mereka keluar di malam hari dan mendakwa “diugut” oleh polis berkenaan untuk memaklumkan ibu bapa mereka. Marah sungguh beliau atas peristiwa berkenaan sehingga mendakwa polis itu “sebenarnya cuba mendapatkan sogokan”. Wanita ini sebenarnya berfikiran amat liberal dan sesuai dengan pendekatan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim. Beliau tidak dapat menerima nilai-nilai masyarakat Malaysia dan budaya Timur. Orang sebeginilah yang menjahanamkan pemikiran ketimuran anak muda zaman ini. Jika beliau ingin kembali ke Malaysia, tunggulah sehingga Anwar Ibrahim menjadi PM. Itupun jika Anwar jadi PM. Jika tidak, teruskan angan-angan anda seperti retorik 16 Septermber-nya.

7. Isabel Lee yang bekerja di Singapura pula merasakan rakyat Malaysia tidak progresif dan tidak agresif kerana “begitu selesa” selain daripada faktor ekonomi yang menjadikan alasan beliau untuk tidak kembali ke Malaysia. Begitu juga Jaqualine George, bekas pelajar di Australia yang kembali semula ke negara berkenaan yang melihat kepada faktor ekonomi. Kedua-dua mereka ini secara ringkasnya melihat kepada pentingnya ekonomi diri diperkayakan untuk berjaya dalam hidup. Malaysia tidak memerlukan rakyat yang “pentingkan diri” (utamakan kekayaan diri sendiri) dengan menjadikan alasan ekonomi untuk menyanjung negara luar. YAB Najib sepatutnya tidak membuka peluang kepada mereka ini untuk menguasai ekonomi negara kerana sekiranya diberikan peluang, mereka akan mengutamakan kepentingan diri berbanding kepentingan negara.

8. Khoo Ghaik Cheng, seorang pensyarah di Australia, begitu lantang menyatakan tidak akan kembali kerana merasakan kaum minoriti di Malaysia “tidak dihargai”. Beliau juga “tidak mahu melihat orang yang dilantik oleh Umno atau BN mengisi jawatan penting di universiti yang hanya menjaga kepentingan parti dan bukannya universiti ataupun rakyat Malaysia”. Penulis bersetuju sekiranya beliau tidak kembali ke Malaysia dan jika ditarik semula kerakyatannya, penulis amat bersyukur. Kerajaan yang dipilih adalah dari majoriti rakyat. Ini bermakna menjadi hak kerajaan itu untuk menentukan dasar negara yang bagaimana ingin direncanakan. UMNO/BN menggunakan pendekatan kesaksamaan, agihan ikut keperluan dan bukannya semberono agih secara sama rata. Tunggulah sehingga DAP, PKR dan PAS memerintah Malaysia sekiranya anda menginginkan agihan sama rata di Malaysia ini! Ketika itu, Hak Istemewa Orang Melayu dan agama Islam sebagai Agama Persekutuan akan dihapuskan pakatan berkenaan. Sudah pasti anda boleh berbesar hati dengan kepimpinan mereka.

9. Fokus penulis bukan untuk melihat kepada alasan-alasan “pengkhianat negara” berkenaan, tetapi kepada pendekatan Malaysiakini untuk mencenderungkan berita untuk melihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang telah diuruskan dengan “teruk, gagal dan mengecewakan”. Malaysiakini yang dialung-laungkan sebagai media “adil, seimbang dan bebas” oleh pihak pembangkang sebenarnya tidak mementingkan kestabilan sosial dan tata kenegaraan dalam penghasilan artikel dan rencana mereka. Mereka lebih mementingkan kepada sisi berita yang “boleh diriuhkan” oleh masyarakat. Inilah yang diiginkan oleh pihak pembangkang.

10. Dalam konteks penulisan yang dibincangkan, Malaysiakini sedar majoriti pembaca (pengundi) Melayu akan membaca dalam versi BM (percuma dan mudah difahami) berbanding versi BI (perlu dilanggan dan bukan bahasa ibunda). Atas faktor itu mereka memilih untuk memperbanyakkan penceritaan yang boleh “menggugat kepercayaan” pembaca (pengundi) Melayu terhadap kerajaan. Gelaran sebagai “media alternatif” yang diberikan perlu ditukar kepada “media pro-pembangkang”.

11. Lihat juga bagaimana dalam versi BI, mereka memberikan pembaca membaca komen-komen mengenai sesuatu isu secara percuma (yang boleh dikatakan kesemuanya menghentam kerajaan). Tidak pernah penulis membaca komen yang memuji kerajaan di dalam ruangan berkenaan. Liciknya Malaysiakini mempengaruhi minda pembacanya untuk membenci kerajaan, UMNO dan BN.

12. Penulis menyeru agar semua pembaca menilai semula apa saja artikel yang dipaparkan Malaysiakini kerana kebanyakkannya “menangkap minda separa sedar” dan mempengaruhinya melalui propaganda tersembunyi. Propaganda itu jika baik kepada negara tidak mengapa, tetapi sehingga kini, penulis melihat kebanyakkannya memburukkan kerajaan (pentadbir negara dipilih majoriti rakyat). Oleh itu, secara ringkasnya, di dalam membaca Malaysiakini, jangan lupa perkara ini: “Baca boleh, percaya? Fikir dulu!”

Nota kaki:
Penulis tidak melanggan Malaysiakini dalam versi BI kerana tidak mahu “menyumbang” kepada media yang tidak mementingkan kestabilan negara!

blog http://satulimatiga.blogspot.com/

Read Full Post »