Feeds:
Posts
Comments

Archive for October 24th, 2008

Tokwan terjumpa blog baru. Nama Tun Jeram….Ini sedikit komen dan analisa beliau yang tok cuba bawakan jika ada benarnya dan tepatnya.

Blog beliau boleh dilawat di sini : http://tun-jeram.blogspot.com/

Maaf tok masih sakit gigi kesan gigi geraham dibuang…Tak dapat tulis panjang..Ciplak sahaja lah dapat tok lakukan sekarang.

Jumpa lagi. Aduhhh !! sedapnya…moga ampun dosa dosa tok.

Tuesday, October 21, 2008

Shamsiah Fakeh bukan pemimpin Rejimen Ke-10

Kematian Shamsiah Fakeh, seorang pejuang kemerdekaan, tetapi juga seorang “bekas komunis” pada 20 Oktober 2008, mungkin ada nilai beritanya. Sebab itu pada hari ini hampir semua akhbar utama di Malaysia menyiarkan berita kematiannya.

Shamsiah yang pernah menjadi ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) antara 1946-1948, kemudian menyertai perjuangan bersenjata menentang penjajah Inggeris selama 8 tahun, sebelum “belajar” dan bekerja di China, menghadiri persidangan di Vietnam, dan menjadi anggota Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia, memang seorang yang hebat. Akan tetapi, kehebatannya tentu tidak memerlukan tokok tambah yang tidak betul dari segi fakta dan realiti sejarah.

Misalnya, entah berasaskan sumber dari mana, Berita Harian 21 Oktober 2008 dalam laporannya telah memasukkan kenyataan yang demikian:

Jawatan terakhir yang dipegang oleh Shamsiah dalam PKM ialah sebagai pemimpin Rejimen 10 (sayap Melayu).

Ini kenyataan karut atau sengaja diada-adakan, walaupun katakanlah untuk menunjukkan “kehebatan” Shamsiah, kerana kenyataan itu tidak benar sama sekali.

Sebenarnya Rejimen 10, iaitu pasukan tentera PKM yang semua anggotanya terdiri daripada orang Melayu didirikan di daerah Temerloh, Pahang pada 21 Mei 1949. Pemimpinnya ialah Abdullah C.D sebagai Komisaris Politk, Wahi Anwar sebagai Komander dan Musa Ahmad sebagai Pegawai Politik.

Shamsiah hanya seorang anggota biasa dalam Rejimen itu dan tidak memegang jawatan pimpinan.

Selepas Wahi Anuar, suami Shamsiah ketika itu, tertangkap dalam suatu pertempuran di Padang Piul pada akhir tahun 1949, jawatan Komander diambilalih oleh Abdullah C.D yang merangkap jawatan Komisaris Politik, manakala Musa Ahmad terus memegang jawatan Pegawai Politik.

Pada tahun 1955, setelah Rejimen Ke-10 berpindah ke Selatan Thailand, dan kemudiannya Musa Ahmad berpindah ke China, badan pimpinan Rejimen itu diperluas dengan memasukkan Suriani Abdullah, Abu Samah Mohamd Kassim dan Ibrahim Chik. Akan tetapi, Abdullah C.D tetap menjadi pemimpin utama.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Shamsiah berlepas ke China pada tahun 1956 dengan tujuan utama dikatakan untuk “belajar” dan sampai di sana pada tahun 1957. Jadi jelas Shamsiah memang tidak pernah menjadi pemimpin Rejimen 10.

Pimpinan utama Rejimen ke-10 boleh dikatakan terletak di tangan Abdullah C.D dan isterinya Suriani, sehinggalah PKM meletakkan senjata dan menamatkan perjuangannya pada tahun 1989.

Dalam masa kira-kira 33 tahun antara 1956 hingga 1989, ketika berada di China, Vietnam dan Indonesia, jelas Shamsiah tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan Rejimen 10.

Jadi bagaimanakah dikatakan dia menjadi pemimpin Rejimen Ke-10 sebagai jawatan terakhirnya?

Read Full Post »