Feeds:
Posts
Comments

Archive for October 21st, 2008

Menjelang Subuh sambil berehat tokwan sempat meneliti berita terkini dari portal berita yang banyak dan percuma di internet ini. Gigi yang masih sakit kerana dicabut semalam masih berdenyut denyut walaupun sudah berkurangan dari awal selepas selesai proses pembedahan kecil membuangnya. Mujurlah tokwan kenal dokor tersebut dan tidak adalah sekasar doktor lain yang pernah merawat gigi tok sebelum ini.

Apa yang menariknya ialah berita seorang ahli MIC yang bertaraf Ketua Pemuda MIC Kedah telah dipecat dari MIC ekoran kritikannya agar Presiden Samy Vellu meletak jawatan. Beliau membuat desakan tersebut Jun lepas.

Terkenang pula berita Mukhriz anak Tun Mahathir yang turut sama membuat desakan serupa kepada Presiden Parti Pak Lah, adakah layak atau tidak dikenakan tindakan yang sama ?

Ini kerana mendesak ‘ayah’ turun dari meneruskan tugas adalah tindakan tidak beradab seorang ‘anak’ dan ia semestinya diusir dari rumah dengan serta merta… Perbuatan menderhaka adalah barah yang boleh merebak jika tidak dibuang dengan segera.

Harap harapnya Lembaga Disiplin UMNO tidak akan malu bertindak terhadap Mukhriz meskipun beliau adalah anak seorang bekas Presiden yang memerintah negara dan parti selama 23 tahun lamanya. Ini kerana Umno mesti menunjukkan contoh yang baik dengan mengenepikan soal jasa bapa jika ada sebarang kesalahan atau etika yang bercanggah dengan perlembagaan parti apatah lagi mendesak seorang Presiden yang mendapat mandat ahli seluruh Malaysia, meletakkan jawatannya sebelum tiba masa.

Jika tidak bagi tokwan, Umno akan dilihat membuat hukuman terpilih dengan menggunakan pertimbangan yang tidak wajar ke atas seorang anak bekas Presiden yang membuat gerakan lantang secara terbuka mendesak Presiden meletakan jawatan dengan segera….

Baca berita tokwan kutip dari Utusan Malaysia..

Natha Kumar dipecat dari MIC

20/10/2008 1:40pm

KULIM 20 Okt. — Ketua Pemuda MIC Kedah R.Nantha Kumar dipecat dari parti ekoran tindakan beliau mendesak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu supaya meletakkan jawatannya pada Jun lepas.

Nantha Kumar berkata beliau menerima surat pemecatannya yang bertarikh 29 September, ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib MIC Tan Sri G.Vadiveloo, pada 16 Oktober lepas.

Surat dua para berbahasa Inggeris itu menyebut bahawa oleh kerana Natha Kumar mengaku pada persidangan majlis tatatertib yang diadakan pada 24 September lepas bahawa beliau menggesa Presiden parti meletak jawatan, maka Jawatankuasa itu memutuskan untuk memecat Nantha Kumar berkuasa serta merta.

Katanya beliau faham dengan kandungan surat itu dan mematuhi segala arahan, kerana beliau masih sayang serta kasihkan MIC, dan menurutnya beliau tetap merasakan seperti anggota parti walaupun sudah dipecat.

Beliau yang dihubungi di rumahnya di Taman Desa Sentosa, Lunas, di sini berkata ketika ini beliau aktif menjalankan kegiatan sosial dan kebajikan untuk masyarakat melalui sebuah badan bukan Kerajaan, Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia (MIYDF).

Pada 27 Jun lepas Nantha Kumar bersama beberapa pegawai kanan pergerakan itu peringkat negeri Kedah meletak jawatan masing-masing sebagai membantah tindakan parti itu mengarahkan Ketua Pemuda pusat MIC S.A Vigneswaran supaya berundur selepas mencapai umur 41 tahun, dan pada persidangan media yang sama, Nantha turut meminta supaya Samy Vellu meletak jawatan.

— BERNAMA


http://www.utusan.com.my/utusan/

Read Full Post »