Feeds:
Posts
Comments

Archive for September 16th, 2008

Jangan hendak jadi Mat Jenin – Hadi Awang

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Kerajaan impian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya dibentuk esok, terbukti hanyalah satu pembohongan dan tidak mungkin menjadi kenyataan.

Beberapa pihak yang dihubungi hari ini menyifatkan ia tidak mungkin wujud dan hanya bertujuan sebagai perang psikologi bagi melemahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, kerajaan yang digembar- gemburkan oleh Anwar esok belum menunjukkan apa- apa yang nyata sehinggalah ke hari ini.

”Janganlah hendak jadi Mat Jenin. Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi.

”Tidak kiralah sama ada Anwar atau UMNO yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini adalah pendirian saya sebagai Presiden Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar berulang kali mencanangkan pakatan pembangkang akan mengambil alih kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 16 September ini.

Berikutan itu juga, lima pemimpin PKR ke Taiwan bagi memujuk anggota Parlimen BN yang sedang dalam rangka lawatan ke negara itu untuk menyertai mereka.

Yang di-Pertua Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah, Ismail Abdul Halim pula berkata, penubuhan sebuah kerajaan baru esok tidak masuk akal sama sekali dan hanya akan berlaku jika pemimpin Malaysia sudah dilanda penyakit korupsi yang serius.

”Jumlah wang yang banyak diperlukan untuk membayar seorang Ahli Parlimen untuk lompat parti,” katanya.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Hussein Al-Habshee menegaskan, melayan kerenah Anwar yang menggembar-gemburkan hasratnya untuk menubuhkan kerajaan esok hanyalah membuang masa semua pihak.

”Apabila Anwar menghebahkan bahawa kerajaan sedia ada akan diganti, ia akan menyebabkan pelabur berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, pelabur juga kemungkinan akan lari ke negara lain dan ini sekali gus melemahkan ekonomi negara serta memberi kesan negatif kepada kerajaan BN.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pula berkata, rakyat negara ini telah diperbodohkan oleh PKR yang kononnya pakatan pembangkang akan membentuk kerajaan baru esok.

Ibrahim berkata, rakyat sepatutnya menilai apa yang telah dilakukan PKR dan sewajarnya peralihan kerajaan dilakukan secara demokrasi seperti melalui pilihan raya.

“Apa yang saya boleh katakan rakyat sebenarnya telah diperbodoh-bodohkan oleh PKR dan saya tidak nampak asasnya akan berlaku perkara seperti itu,” katanya.

Sumber : Utusan Melayu

Read Full Post »