Feeds:
Posts
Comments

Archive for July 6th, 2008

Calon Ahli Majlis MPAJ gagal buat akuan bersumpah digugur

SHAH ALAM 4 Julai – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor menggugurkan seorang calon Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berikutan gagal membuat akuan bersumpah seperti diarahkan bagi membuktikan dia tidak mempunyai rekod jenayah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkata, sehingga lewat petang ini, calon berkenaan gagal menyerahkan dokumen tersebut kepada kerajaan negeri.

Justeru, tambah beliau, secara automatik nama calon tersebut dikeluarkan daripada senarai Ahli Majlis MPAJ.

“Kita telah menghubungi calon itu hari ini dan bertanyakan tentang akuan bersumpah yang telah kita arahkan.

“Namun, dia menyatakan tidak berminat untuk berbuat demikian dan kita terpaksa keluarkan namanya daripada senarai Ahli Majlis MPAJ,” katanya di sini hari ini.

Semalam, kerajaan negeri mengarahkan dua calon Ahli Majlis MPAJ yang didakwa pernah terlibat dengan jenayah, menandatangani akuan bersumpah bagi membuktikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan kegiatan itu.

Esok, seramai 288 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor yang baru akan menerima watikah pelantikan masing-masing daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Ronnie, calon yang digugurkan itu akan digantikan dengan individu lain tidak lama lagi.

Mengenai seorang lagi calon yang juga didakwa mempunyai rekod jenayah, beliau memberitahu, akuan bersumpah daripadanya telah diterima oleh kerajaan negeri hari ini.

“Dia dijadualkan hadir esok untuk menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis MPAJ,” ujarnya.

Kelmarin, sebuah persatuan penduduk di Ampang mengeluarkan kenyataan akhbar mendakwa dua calon Ahli Majlis MPAJ pernah terlibat dengan kegiatan jenayah.

Salah seorang calon berkenaan pernah dibuang daerah pada tahun 2003 kerana terlibat dengan beberapa kes samun di sekitar Lembah Klang.

Seorang lagi dipercayai terbabit dengan kegiatan pertubuhan kongsi gelap.

Tokwan terkejut calon MPAJ terdiri dari penjenayah. Mujurlah rakyat membuat bantahan dan mereka berjaya menghalang calon dari kalangan ‘ tidak bermoral’ dari dilantik sebagai Ahli Majlis MPAJ.

secara tak langsung ia boleh mengaitkan perebutan jawatan hingga membenarkan sesiapa sahaja menjadi ahli majlis walaupun tidak mempunyai rekod yang bersih dari undang undang.

Tokwan tak nak campurlah melainkan mereka masih berdegil meneruskan perlantikan…

Itu sahaja cerita tokwan hari ini…

Pendek sahaja..

Wassalam jumpa lagi cu..

Read Full Post »