Feeds:
Posts
Comments

Archive for June 10th, 2008

Broker tanah dibenar kahwin empat

Seorang broker tanah yang mempunyai tiga isteri dan 25 orang anak dengan pendapatan kira-kira RM20,000 sebulan dibenarkan berkahwin kali keempat oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas kesemua isterinya memberi kebenaran dan sokongan terhadap hasrat suami mereka itu.

Hakim Shaikh Ahmad Ismail membenarkan permohonan Abu Bakar Embong, 54, dari Kampung Telok Menara, Manir di sini untuk berkahwin dengan Suhaili Ismail, 24, dari Batu Enam di sini selepas mendapati pemohon memenuhi keperluan syarak untuk berkahwin kali keempat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keterangan ketiga-tiga isteri Abu Bakar di mahkamah hari ini yang menyatakan pemohon sentiasa berlaku adil selain broker tanah itu memberi jaminan bahawa keperluan isteri-isteri dan anak-anaknya akan dipenuhi mengikut kemampuannya.

”Mahkamah juga mengambil kira keterangan afidavit yang disertakan dengan permohonan poligami yang turut menyatakan jumlah pendapatan pemohon RM20,000 sebulan dan saya percaya jumlah pendapatan ini lebih daripada yang dinyatakan.

”Abu Bakar juga telah menyediakan rumah untuk setiap isterinya di Kampung Telok Menara selain kereta,” katanya.

Isteri-isteri Abu Bakar ketika ditanya oleh hakim mengenai hasrat suami mereka itu sepakat memberi keizinan kepada suami mereka untuk berkahwin kali keempat.

Isteri-isteri Abu Bakar iaitu yang pertama Hasnah Jusoh, 43: isteri kedua, Mazumi Ismail, 45, dan isteri ketiga, Norazlina Ariffin, 25, menyatakan kesanggupan mereka berkongsi hidup dan membenarkan suami berkahwin lagi dengan Suhaili yang masih belum bekerja.

Mazumi berkata, mereka memberi izin kerana bakal mempunyai seorang lagi kawan selain boleh menambah ahli keluarga yang besar.

”Kami baru ada 25 anak. Suami juga sentiasa berlaku adil terhadap kami bertiga dalam segala hal,” katanya.

Selepas memberikan keputusannya, Hakim Shaikh Ahmad menasihatkan Abu Bakar mengumpulkan semua isteri serta anak-anaknya yang terdiri daripada 11 lelaki dan 14 perempuan berusia antara empat bulan dan 25 tahun, dengan mengadakan kelas fardu ain sekali sebulan bagi meningkatkan pengetahuan agama mereka.

Beliau turut menasihatkan pemohon menunaikan fardu haji bersama kesemua isterinya selepas Abu Bakar dan Suhaili melangsungkan perkahwinan.

”Kerana pemohon dan ketiga-tiga isteri masih belum menunaikan fardu haji, eloklah Abu Bakar membawa bersama kesemua isteri melakukannya. Ia merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan jika berkemampuan, jika tidak kita berhutang dengan Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan kesyukuran kerana mahkamah menerima permohonannya itu.

Dia berkata, isteri-isterinya yang mencarikan jodoh termasuk meminang Suhaili untuknya.

”Kami akan melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat.” katanya.

– Tokwan harap ramai anak gadis akan terbela jika ramai lelaki di dunia seperti Broker tanah di atas. Ramai akan mendapat kebajikan zahir dan batin. Inilah yang Islam mahukan. Berpoligami kerana ingin membantu nasib mereka yang bukan sahaja memerlukan nafkah zahir tetapi nafkah batin yang tidak ada disedia di tepi tepi jalan !

Selamat berkahwin baru, moga kekal ke anak cucu.

Cuma kesian kes tempoh hari yang ditolak permohonanya , mungkin tidak ada rezeki atau belum diizinkan lagi…Cuma media massa janganlah sibuk sangat ambil gambar, malu lah perempuan mukanya disiar dalam surat khabar. Malu diketahui awam dia isteri ke dua ketiga atau keempat… Harap media pun timbang rasalah sikit.

Ok jumpa lagi cu, wassalam.

Read Full Post »