Feeds:
Posts
Comments

Archive for June 3rd, 2008

Di saat kerajaan teruk dikritik selepas kekalahan di dalam pilihanraya lalu, tokwan tengok sudah banyak perubahan drastik dibuat oleh Pak Lah. Tokwan dok kira kira ada banyak jugalah langkah langkah proaktif yang dilaksanakan setakat ini. Meskipun ada juga berpandangan sinis ia sekadar melaksanakan cadangan dari pembangkang seperti kata Tun Mahathir. Tak kisahlah siapa sahaja yang memberi cadangan samada pro kerajaan atau pembangkang kerana semua berkhidmat demi rakyat dan asalkan ia memberi keuntungan kepada rakyat, tentu tiada orang akan menahan ia dari dilaksana.

Dulu, tiada orang Sabah menjadi Speaker Dewan Parlimen. Sekarang sudah ada iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Setakat ini tokwan tengok dia memiliki keberanian dan ketenangan di dalam mengendalikan perbahasan meskipun ‘saat pertama’ pembukaan dewan hari tu, tokwan dengar ada juga bunyi nama binatang keluar disebut oleh wakil kerajaan dan pembangkang. Big foot dan big monkey antaranya.

Dulu Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) tiada dari kalangan anak Sabah namun sekarang Prof Datuk Dr Kamarulzaman Ampong yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Naib Canselor baru Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memecahkan rekod tersebut.. Beliau menyifatkan pelantikannya itu satu pengiktirafan kepada rakyat Sabah.

Pelantikan beliau yang berkuatkuasa pada 18 Jun depan bagi menggantikan Prof Datuk Mohd Noh Dalimin yang bersara wajib. Itu antara bahan tokwan baca dalam Utusan Malaysia hari ini.

Jika dulu bidang kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah dilihat berpihak dan cenderung kepada kerajaan, namun sekarang ia telah dibebaskan seperti burung merpati yang ada sayap dan keinginannya sendiri tanpa ada dikawal sebarang kuasa di belakangnya.

Yang terbaru, JPA akan mendapat tambahan RM 60 juta untuk pemberian biasiswa dan bukan bumiputera akan dinaikkan peratusan mereka dari 10% ke 43%… Sebagaimana kenyataan Menteri di jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dalam akhbar hari ini. Pengumuman dibuat dalam perbahasan perbekalan tambahan 2008 …

Ini bermakna ada tambahan dana sebanyak RM 60 juta dan ada pengurangan hak bumiputera dari 90 % kepada 57 % sahaja dari jumlah keseluruhan dana. Manakala bukan bumiputera akan mendapat kenaikan sehingga 43 % dari 10 % sahaja sebelum ini.


Cuma tokwan risau juga, adakah kenaikan ini tidak bercanggah dengan perlembagaan negara ? adakah Nazri memahami apa dimaksudkan pada Artikel 153 berkenaan Hak Keistimewaan orang Melayu yang terpelihara sekian lama di negara kita ? adakah ini demi menarik kembali sokongan bukan Melayu agar kembali menyokong Barisan Nasional atau ia tindakan yang memang berasaskan janji janji pada pilihanraya yang lalu.


Peruntukan tentang artikel ini diletak bawah kuasa Raja-Raja Melayu. Artikel ini adalah antara artikel-artikel yang perlu dipersetujui dalam quid pro quo sebagai persetujuan untuk menganugerahkan kerakyatan kepada bukan Bumiputera pada Ogos 31hb, 1957. Ia setahu tokwan adalah kontrak sosial yang disepakati semua datuk nenek warga kita hari ini semasa merundingkan kemerdekaan dengan penjajah British…

Harapnya di dalam menaikkan sesuatu, tentu ada yang turun dan penurunan tersebut janganlah membiarkan keistimewaaan bangsa Melayu akan susut dan menyebabkan mereka kehilangan sesuatu yang sebelumnya adalah hak mereka zaman berzaman.

Moga sentiasa ada yang akan naik selepas turun…

Read Full Post »