Feeds:
Posts
Comments

Archive for April 26th, 2008

Daulat Tuanku !

PASIR MAS 25 April – Sekumpulan 100 di sini yang mendakwa tidak mewakili mana-mana parti politik membuat laporan polis terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung kenyataan mereka yang didakwa mempertikaikan hak keistimewaan Melayu.

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas kira-kira pukul 10.15 pagi itu, mendesak polis melakukan siasatan terhadap kedua-dua pemimpin itu yang didakwa menghina Kesultanan Melayu.

Wakil penduduk itu, Ir. Suharto Mat Nasir mendakwa, kenyataan Ka Ting dan Karpal itu juga telah mencabar dan mempertikaikan Hak-Hak Keistimewaan Kaum Bumiputera yang dijamin oleh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.

“Kami percaya kenyataan mereka (Ka Ting dan Karpal) merupakan satu hasutan yang menyalahi undang-undang dan perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

“Pihak polis hendaklah mendakwa pihak yang berkenaan di bawah Akta Hasutan demi menjaga keharmonian dan keamanan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 12 April lalu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra semasa merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, menyebut mengenai ketuanan Melayu semakin tercabar apabila kaum lain lebih dominan daripada segi politik dan ekonomi.

Ekoran daripada itu, Ka Ting dilaporkan mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan titah Tengku Mahkota Kelantan mengenai tuntutan hak sama rata untuk kaum bukan Melayu.

Menurut Ka Ting, kenyataan Tengku Mohammad Faris itu akan memusnahkan perpaduan dan keharmonian kaum selain tidak memberi faedah kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Karpal pula dikatakan membuat kenyataan dalam akhbar yang bermaksud ucapan Tengku Mahkota Kelantan itu telah menghina kaum Melayu dan boleh dianggap sebagai hasutan. – utusan

itu yang tok wan petik dari utusan yang disiarkan di blog beritamalaysiakini yang timbul lagi isunya hari ini…

Ada 100 orang telah tidak mewakili mana mana parti telah membuat laporan polis mengenai kenyataan yang mereka anggap sebagai menghina institusi Raja.

Ramai juga kalau 100 orang berkumpul. Tentu gamat juga di balai polis. Riuh rendah macam pasar kalau 100 orang berada di balai sekaligus.

Jangan merusuh sudahlah macam sesetengah orang yang diajar agar bencikan polis. Kata mereka, polis alat kerajaan ! Sedang polis yang sama juga menjaga negara dan keamanan hingga kita dapat rasa selesa bergerak ke mana mana tanpa takut diapa apakan oleh mana mana penjahat atau perompak.

Tok wan rasa sebagai tonggak rakyat tentu ada sebab Tengku Mahkota membuat ucapan sedemikian rupa.. Sebagai Raja menjadi payung rakyat jelata, ada sebab suara lantang yang diucapkan semasa merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu itu sempena Maulidur Rasul 12 April lalu bergema ke seluruh negara.

Raja bukan orang politik. Raja juga tidak dipilih secara undian dan perjuangan politik.

Maka Karpal dan Ong Ka Ting kena hati hati jika membuat komen mengkritik Raja Melayu yang menjaga agama Islam. Dan negara ini telah ada Raja sejak merdeka dan sebelumnya lagi.

Tok wan tahu kenapa Inggeris telah menjadikan Raja sebagai Raja Berpelembagaan kerana mereka risau jika Raja diberikan kuasa lebih tentu Islam akan lebih kuat di tangan Raja. Kerana Raja yang komited dengan agama akan mempertahankan agama dari hasutan, kritikan dan campur tangan merosakkannya tanpa ada sesiapa mampu menahan dan menghalang Raja.

Cuma, jika Raja tidak lurus perjalanan agamanya, tok wan khuatir ia juga boleh menjadikan suasana agak sukar dikawal kerana tonggak rakyat tidak lagi kuat menjadi benteng pertahanan agama kepada rakyat.

Daulat Tuanku !

patik yang tua ini menyokong Tuanku…

usaha tuanku mengingatkan sesama melayu amat patut di kala rakyat sudah berpecah kepada parti yang berbeza. kerana jika tunjang negara sudah lemah dan jatuh, tentu tiada lagi harapan melihat kedaulatan agama kita akan terjamin di tangan bukan yang memeluknya…

Dasar Pecah dan Perintah memang berkesan hingga kini kerana ia satu taktik Inggeris menjadikan negara kita berbilang parti hingga sukar mewujudkan perpaduan di atas nama rakyat Malaysia kerana parti yang berbilang ini. Lebih lebih lagi antara agama dan sesama bangsa.

Setiap parti mewakili ideologi berbeza dan sukar disatukan seperti mana tok wan tengok Barisan Nasional yang sudah lama menjadi parti pemerintah bersama antara Melayu Cina India dan suku kaum lain dari Sabah dan Sarawak. Keunggulan pakatan ini sukar ditumbangkan kecuali sdikit goyah selepas pilihanraya ke 12 baru baru ini.

Pendapat tok wan , kekalahan teruk kerana Perdana Menteri Pak Lah diserang dari 4 arah. Jika kita diserang bertalu talu dari 4 penjuru tentu kita tidak kuat melawannya juga.

Ibarat Gajah dengan anjing, jika ramai banyak ekor tentu sukar juga si Gajah meneruskan langkah kerana mengambil masa menepis gigitan dan salakan tidak henti henti dari sang anjing pengacau tadi…Ini ibarat tok lah. Jangan ada yang terasa.

tok wan rasa sebabnya ialah ;

1. UMNO sendiri seperti Tun Mahathir dan hulu keris serta jembalangnya ( asal hulubalang ) yang berterusan mengkritik dan menjatuhkan wibawa Pak Lah.

2. PAS yang dilihat mewakili Melayu Islam ,tetap secara konsisten menentang dan memburukkan pimpinan negara kita dengan menggunakan dalil dalil agama.meskipun usaha mendaulatkan Islam semakin jelas di era Pak Lah..

3. PKR yang menjadikan agenda Malaysian Malaysia teras perjuangan mereka hingga tiada lagi istilah ketuanan Melayu di dalam dasar perjuangan politik mereka.

4. DAP yang sentiasa membangkitkan isu ketidak adilan kerajaan terhadap kaum lain seperti Cina dan India. Meskipun ia sekadar isu isu yang sudah dijawab sepenuhnya oleh kerajaan melalui lisan dan tindakan. Namun kaum lain terpedaya dan menolak mengundi kepada kerajaan Barisan Nasional.

Keempat empat musuh ini telah menghalakan serangannya untuk mengurangkan majoriti 2/3 dan mereka telah berjaya !!!

Tun Mahathir berjaya kerana Pak Lah telah gerhana selepas Gemilang pada 2004 yang lalu.

Hj Hadi berjaya kerana PAS semakin diterima bukan Melayu hingga menjadi Menteri Besar di Perak.

Anwar Ibrahim berjaya kerana menjatuhkan air muka musuh lamanya di dalam UMNO hingga ramai telah kecundang dalam pilihanraya lalu meskipun dengan majoriti yang tidak banyak.

Lim Kit Siang dan Karpal Sing turut berjaya kerana agenda menakluki negeri menjadi ketua menteri tercapai selepas berpuluh tahun berusaha walaupun ia berjaya ketika era anak LKS iaitu Lim Guan Eng .

Bagi tok wan, yang paling berjaya ialah ;

1. Islam Hadhari yang mengetengahkan idea Islam dalam kehidupan dengan jenama terkini terjejas teruk.

2. Hasrat memartabatkan negara ke arah lebih gemilang dengan memberi kesamarataan dalam ekonomi melalui koridor koridor di pantai barat dan timur telah terbantut kerana pertukaran pemerintahan di negeri negeri yang diperintah lawan Barisan Nasional.

3. Melayu sendiri menentang usaha sesama bangsa ke arah menjadi kerajaan berintegriti dan telus.

4. Usaha memartabatkan institusi kehakiman dan meningkatkan kestabilan pentadbiran negara dengan memberi nafas baru sukar diteruskan tanpa sokongan 2/3 wakil rakyat MP kerajaan.

5. Ketuanan Melayu Islam akan gagal dipertahan jika benar impian Pakatan Rakyat menjadi kenyataan.

Bagi tok wan , saat saat yang paling takut ialah apabila Anwar menyebut tiada lagi agenda Negara Islam seperti hasrat utama perjuangan PAS. dan paling menyedihkan lagi, semua anak buah Hj Hadi nampaknya diam dan tidak berkata apa apa apabila Fasal 5 Parti PAS , negara Islam sudah ditukar kepada negara kebajikan.

Dulu PAS kata kepada ahli UMNO kerana angguk angguk dan mr yes man …sekarang kata kata sudah terbalik kepada yang mengata. Dan tok wan rasa PAS sudah tidak relevan lagi sekarang ini.

Bukan apa, Tokwan kesian kat anak saudara tok wan yang kuat menggerakkan cawangan PAS di sini.. Siang malam mengajak orang kampung menyokong negara Islam..Tetapi selepas yang berlaku hari ini, dia sudah diam dan kurang aktif lagi. Macam malu dan keliru pula.

Dulu kat masjid dan surau kuat dikutuk kerajaan kerana tidak laksanakan undang undang Islam tetapi sekarang para ustaz dan kiai semua dah kurang mengutuk secara sinis kepada kerajaan. Mungkin mereka sudah menduga reaksi tidak sedap didengar akan menyerang mereka sekarang ini. Tidak lain kerana PAS sudah tidak menjadikan agenda memperjuangkan hukum ALLAH di dalam perjuangan.

Sedangkan Islam bukan terletak pada Undang undang sahaja. Islam perkara Iman di Hati…Percaya dan yakin. Dan dibuktikan dengan amalan wajib . Jika ada perkara wajib kita tidak mampu melaksanakannya seperti UMNO kerana masyarakat majmuk, tentu ia dikategorikan sebagai tidak wajib kecuali kita sendiri bersatu dan membentuk 2/3 kerajaan tanpa penyertaan golongan bukan Islam hingga kerajaan bebas melaksanakan agama dan undang undangnya bila bila masa. Namun realiti sekarang tidak macam tu.

PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO. Pas tahu sukar melaksanakan hasrat Fasal 5 mereka bersendirian. UMNO juga begitu. Jadi usaha mendamaikan antara kedua perlu dibuat dari dijalinkan kerjasama sesama Pakatan Rakyat yang juga tidak ubah seperti Barisan Nasional yang terdiri dari berbagai bangsa dan agama. Itupun jika benar benar ingin menjadikan negara Islam perjuangan utama bukan sekadar retorik pilihanraya sahaja.

Bagi tokwan, kita kena hati hati dalam memilih perjuangan. Jangan bersikap melulu hingga kita akan malu akhirnya. Jangan kerana nama Islam kita merasa sudah sangat sempurna hingga tiada lagi ruang untuk lawan kita diberi belas ihsan dalam mempertahankan dirinya. Kalau benci jangan terlalu benci. Kalau sayang pun jangan terlalu sayang..Kerana ada saat sayang akan menjadi benci dan benci akan menjadi sayang.

Buruk buruk mereka pun, kita semua bersaudara atas nama agama dan Tuhan yang sama!

jumpa lagi cucu tok wan semua.

maaf jika ada terasa dengan komen orang tua di atas.

klik di sini untuk membaca bab hudud di blog ustaz moden

Read Full Post »